fbpx

Pegawai ‘gomen’ atur kemasukan warga asing di LTAPP dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan dua pegawai agensi penguat kuasa selepas dipercayai bertindak mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), hari ini.

Menurut sumber, dua individu masing-masing terdiri seorang lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi merakamkan keterangan, kira-kira pukul 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

“Tangkapan terhadap kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa itu adalah susulan tangkapan membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini, kira-kira pukul 9 malam semalam.

“Kedua-dua pegawai terbabit dipercayai telah bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya,” katanya.

Jelasnya sumber berdasarkan siasatan awal, lelaki Bangladesh bersama pegawai lelaki berkenaan telah meminta wang kira-kira RM4,500 daripada seorang lelaki Indonesia yang tiba dengan pesawat melalui LTAPP pada 22 September lalu sebagai balasan membantunya masuk ke negara ini.

“Lelaki warga Indonesia terbabit kemudian memohon masa untuk menyediakan wang berkenaan sebelum diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

“Susulan itu, SPRM Pulau Pinang semalam menahan lelaki warga Bangladesh terbabit selepas dia menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia berkenaan,” katanya di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Majistret Syahirah Abdul Salim membenarkan lelaki warga Bangladesh itu direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret George Town pagi tadi.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa berkenaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Georgetown, esok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan.

Katanya, kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit di siasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 manakala lelaki warga Bangladesh itu pula disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta yang sama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI