fbpx

Mahasiswa harap peruntukan khidmat kaunseling, psikologi di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Mahasiswa di universiti awam mengharapkan kerajaan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan lebih besar bagi perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikologi di kampus dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan hari ini.

Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Danial Alimin berkata, ini berikutan ramai dalam kalangan mereka kini menghadapi tekanan akademik, kewangan dan sosial sehingga memerlukan perhatian segera.

Menurutnya, penuntut menyatakan hasrat supaya kemudahan kesihatan atau klinik kampus disediakan di dalam kampus dengan khidmat rawatan asas daripada tenaga profesional.

“Ramai yang menyuarakan kepada kita tentang perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi di kampus bagi membantu merawat kesihatan mental yang dihadapi mereka ketika ini.

“Seterusnya, mereka turut mengharapkan kerajaan memperkenalkan atau menambah baik skim insurans kesihatan yang mampu milik untuk para pelajar bagi menampung kos rawatan yang mahal sama ada di hospital kerajaan atau swasta,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya lagi, pelajar juga menyeru kerajaan meningkatkan akses kepada sumber akademik seperti pembiayaan lebih banyak buku, jurnal dan bahan pembelajaran digital di perpustakaan dan platform e-learning.

“Pada masa ini, kita masih mengharapkan lebih banyak geran dan dana untuk projek penyelidikan pelajar serta akademik termasuk program latihan dan kursus untuk meningkatkan kemahiran teknikal, vokasional dan kemahiran abad ke-21 serta lebih banyak peluang untuk pengalaman pembelajaran antarabangsa,” ujarnya.

Mengulas mengenai aspek pekerjaan sebelah tamat pengajian pula, Muhammad Danial memberitahu, kerajaan juga boleh mencadangkan skim khas untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan sebaik tamat belajar menerusi sokongan kerajaan dan majikan.

“Selain itu, program latihan praktikal (internship) yang dibiayai atau insentif untuk syarikat menerima pelajar sebagai pelatih dan pelaksanaan potongan cukai atau subsidi bagi syarikat yang menggaji graduan baharu terutama dalam sektor kritikal turut diharapkan dalam Belanjawan 2025.

“Kerajaan melalui GLC (syarikat berkaitan kerajaan) juga boleh memberikan dana dan bimbingan untuk pelajar yang ingin memulakan perniagaan sendiri selepas tamat belajar serta memperkenalkan program peningkatan kemahiran dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI