KAJANG – Kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat sekitar Saujana Impian, di sini, petang semalam, telah meragut nyawa seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof, kejadian itu disyaki berpunca litar pintas yang berlaku di tingkat bawah rumah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 4.20 petang semalam.
“Pihak Forensik Bomba dibantu Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia menemui satu mayat dalam keadaan terbaring dan melecur di dalam bilik tingkat atas.
“Ketika kejadian, mangsa berusia 17 tahun berseorangan di rumah. Punca kejadian disyaki litar pintas di tingkat bawah sebelum api marak hingga memusnahkan 60 peratus rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan pukul 9 pagi tadi mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat menyedut asap kebakaran,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau dan semua warga kerja Ibu Pejabat Daerah Kajang mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang remaja perempuan,17, ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Saujana Impian, petang semalam. – KOSMO! ONLINE.