fbpx

Jumlah trafik penumpang udara Malaysia rekod 46.6 juta orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trafik penumpang udara antarabangsa menjadi penyumbang terbesar dalam pertumbuhan jumlah keseluruhan penumpang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.- Gambar hiasan

PETALING JAYA- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengeluarkan laporan Waypoint dwi-tahunannya yang ke-15, menekankan pemulihan kukuh berterusan dalam sektor penerbangan tempatan dalam tempoh enam bulan pertama 2024 (1H24).

Laporan itu menunjukkan jumlah trafik penumpang udara Malaysia telah mencapai 46.6 juta, mewakili pertumbuhan tahun-ke-tahun (YoY) sebanyak 15.3 peratus.

Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh trafik penumpang udara antarabangsa yang melonjak sebanyak 35.9 peratus YoY kepada 24 juta penumpang, manakala trafik domestik telah menurun sebanyak 0.7 peratus YoY kepada 22.6 juta penumpang.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pertumbuhan sektor penerbangan tempatan pada separuh pertama 2024, terutamanya peningkatan dalam trafik penumpang udara antarabangsa adalah mencerminkan keteguhan sektor ini.

“Peningkatan ini menekankan kepentingan ketersambungan antarabangsa yang telah menjadi faktor utama dalam memacu pemulihan keseluruhan perjalanan udara.

“Inisiatif pelancongan strategik seperti perjalanan tanpa visa untuk pelawat dari India dan China akan terus merangsang trafik udara antarabangsa dan pelancongan.

“Selain itu, pencapaian sebanyak 72.3 juta penumpang pada September 2024 bagi sektor ini turut menunjukkan keberkesanan usaha untuk memulihkan laluan antarabangsa dan meningkatkan permintaan perjalanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Saripuddin berkata, Mavcom akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama dalam ASEAN.

gambar hiasan

“Namun begitu, kita perlu kekal waspada dengan faktor luaran, termasuk harga bahan api yang tidak menentu dan cabaran rantaian bekalan global yang boleh menjejaskan kepada pemulihan berterusan industri,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya yakin dengan keupayaan sektor ini untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya walaupun berdepan dengan cabaran tersebut.

Lebih menarik, Saripuddin berkata, sektor kargo udara turut menunjukkan pertumbuhan yang ketara dengan jumlah kargo yang diukur dalam Freight Tonne Kilometre (FTK) meningkat sebanyak 14.3 peratus YoY kepada 5.2 bilion FTK pada suku kedua 2024 (2Q2024).

Katanya pertumbuhan ini telah didorong oleh peningkatan penghantaran e-dagang dan kesan krisis perkapalan laut merah.

“Kami turut menjangkakan pertumbuhan antara 10 peratus hingga 12.5 peratus YoY yang membawa kepada anggaran 20.8 bilion hingga 21.2 bilion FTK,” jelasnya.

Selain itu, Mavcom telah meluluskan sejumlah 156 Hak Trafik Udara (ATR) tambahan dengan 20 diperuntukkan untuk laluan domestik dan 136 untuk destinasi antarabangsa.

Kelulusan ini menekankan komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kesalinghubungan udara domestic dan antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI