fbpx

JKKP lancar garis panduan baharu, kurang risiko psikososial di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurangan risiko psikososial mampu mempromosikan persekitaran pekerjaan dengan lebih sejahtera.

PETALING JAYA- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia mengambil pendekatan bagi mengurangkan risiko psikososial di tempat kerja dengan melancarkan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial Pekerjaan di Tempat Kerja 2024.

Dalam konteks ini, garis panduan berkenaan memainkan peranan bagi mengurangkan risiko psikososial di tempat kerja selain mempromosikan persekitaran kerja lebih sihat serta menyokong kesejahteraan pekerja.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, garis panduan itu akan menyediakan alat dan metodologi praktikal untuk ahli profesional sumber manusia selain
pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam menilai serta mengurus risiko psikososial dengan berkesan.

“Bagi memudahkan pelaksanaan garis panduan tersebut, JKKP Malaysia menganjurkan seminar khas yang menyasarkan profesional sumber manusia serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Seminar itu akan memberikan penerangan terperinci mengenai kandungan dan aplikasi garis panduan serta pandangan daripada pakar kesihatan mental terkemuka daripada sektor swasta dan awam,” katanya hari ini.

Isu psikososial dalam kalangan tenaga kerja Malaysia semakin meruncing di mana NHMS 2023 menunjukkan 4.6 peratus populasi dewasa di Malaysia mengalami simptom kemurungan.

Menerusi seminar itu, peserta juga berpeluang terlibat dalam perbincangan dan latihan praktikal mengenai pengurusan risiko psikososial.

Untuk rekod, seminar itu akan diadakan pada 26 dan 27 Oktober di SCCC Setia Alam, Selangor di mana kemasukan adalah percuma untuk semua profesional manusia serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Mengulas lanjut, Kementerian Sumber Manusia berkata, peningkatan isu psikososial di tempat kerja memerlukan tindakan segera daripada semua pihak berkepentingan.

“Dengan melengkapkan ahli profesional bersama pengetahuan dan alat yang diperlukan, organisasi dapat mengenal pasti dan mengurangkan faktor tekanan sebelum ia menjadi lebih serius.

“Selain itu, ia memupuk budaya kerja yang memupuk kesejahteraan pekerja supaya dapat meningkatkan produktiviti dan moral seterusnya membantu menaikkan pencapaian organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, dengan mengambil langkah proaktif melalui penerapan garis panduan baharu ini, tempat kerja di Malaysia boleh membuat perubahan signifikan dalam menyokong kesejahteraan pekerja.

Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu dan organisasi, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial negara.

Sebelum ini, isu psikososial dalam kalangan tenaga kerja Malaysia semakin meruncing di mana Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 telah menunjukkan 4.6 peratus populasi dewasa di Malaysia mengalami simptom kemurungan.

Di peringkat global pula, 15 peratus pekerja mengalami isu psikososial.

Lebih membimbangkan, perkara ini telah menyebabkan kerugian bernilai USD1 trilion akibat kehilangan produktiviti, kehilangan 12 billion hari bekerja dan 50 peratus kehilangan kos secara tidak langsung.

Statistik itu memberi penekanan yang mendesak bagi mencadangkan strategi komprehensif dalam menangani kesejahteraan mental di persekitaran profesional.

Kesan negatif ini bukan sahaja dirasai oleh individu, tetapi juga memberi impak kepada produktiviti organisasi dan ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI