BANDAR GAZA – Tentera Israel mendakwa ia membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar semasa operasi darat malam kelmarin di selatan Gaza, lapor agensi berita United Press International.
“Dihapuskan: Yahya Sinwar,” kata tentera Rejim Zionis dalam catatan ringkas di X.
Dalam catatan yang dibuat empat jam sebelum itu, tentera Israel berkata, ia menghapuskan tiga sasaran dan sedang memeriksa sama ada salah seorang daripada mereka adalah Yahya.
“Di bangunan tempat sasaran dihapuskan, tidak ada tanda-tanda kehadiran tebusan di kawasan itu,” katanya.
Pasukan Rejim Zionis kemudian mengenal pasti mayat Yahya dan melaporkan pengesahan kematiannya kepada media dalam satu kenyataan.
“Kami mengesahkan bahawa selepas diburu selama setahun, semalam (kelmarin), 16 Oktober 2024, tentera (Israel) dari Komando Selatan menghapuskan Yahya Sinwar, ketua Hamas, dalam operasi di selatan Semenanjung Gaza,” kata kenyataan itu.
Pegawai Hamas pada semalam berkata, petunjuk menunjukkan Yahya dibunuh oleh tentera Israel tetapi tidak mengesahkan atau menafikan kematiannya.
Hamas berkata, ia akan membuat kenyataan rasmi hanya menggunakan saluran Telegram atau laman webnya. – AGENSI