GUA MUSANG – Kenaikan pelbagai kos bahan mentah antara isu yang dibangkitkan oleh golongan peniaga kecil dan sederhana dalam usaha mereka meneruskan kelangsungan untuk mencari rezeki.
Rata-rata peniaga yang ditemui mengakui, Belanjawan 2025 yang dibentangkan hari ini diharap memberi sedikit sinar kepada golongan seperti mereka dalam berdepan cabaran perniagaan yang semakin getir.
Antara perkara yang peniaga kecil harapkan adalah satu mekanisme dalam mengawal harga barang keperluan selain pemberian bantuan wang tunai bersasar kepada peniaga kecil.
Seorang peniaga makanan, Hasnah Deraman, 52, berkata, kebanyakan peniaga kedai makan menerima kesan kenaikan kos bahan mentah sehingga ada yang sudah gulung tikar.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pendapatan kami memang terjejas teruk. Memang nampak kedai meriah dengan kehadiran pelanggan, tetapi keuntungan sangat kecil.
“Atas sebab itulah kami berharap kerajaan dapat membantu memberi bantuan wang tunai secara bersasar kepada peniaga yang layak. Bantuan itu diperlukan untuk membantu golongan peniaga kecil-kecilan supaya tidak terjebak dengan pinjaman tidak berlesen,” katanya.
Seorang lagi peniaga kedai runcit, Rohaizat Ahmad, 49, berkata, dia juga berharap bantuan yang disalurkan itu dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Sekiranya tiada bantuan, penjaja kecil akan gulung tikar kerana situasi perniagaan sekarang ini sangat sukar,” katanya.