PETALING JAYA – Atlet muda taekwondo negara, Fu Ceen Put Thai meraih pingat gangsa dalam penyertaan sulungnya pada Kejohanan Taekwondo Terbuka Asia Kasad 2024 (G2) semalam.
Fu Ceen yang bertanding dalam acara Bantam bawah 63 kilogram (kg) pada awalnya menyasarkan untuk melangkah ke final sebelum usahanya terhenti di peringkat separuh akhir.
Ia susulan kekalahannya di tangan atlet Olimpik dari Kazakhstan, Samirkhon Ababakirov dalam pertembungan separuh akhir yang berlangsung di Tangerang, Indonesia.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada jurulatih saya, Sir Taufiq serta keluarga mak, abang, adik dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya,” ujar Fu Ceen ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dengan semangat yang tinggi, atlet berusia 21 tahun itu kini memasang impian lebih besar untuk beraksi di Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Disember tahun depan.
“Harapan saya sekarang untuk mengekalkan momentum ini dan terus beraksi cemerlang agar dapat disenaraikan dalam skuad Sukan SEA tahun depan,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, ketua jurulatih taekwondo kebangsaan, Syed Taufiq Syed Abdul Hamid turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian skuad kyorugi lelaki negara secara keseluruhan.
Kejayaan Malaysia meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kategori pasukan lelaki terbaik pada kejohanan Asia tersebut adalah hasil kerja keras dan dedikasi para atlet serta sokongan berterusan daripada badan sukan negara.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas sokongan padu daripada Taekwondo Malaysia, MSN dan ISN. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan kami memerlukan lebih banyak pendedahan antarabangsa memandangkan 90 peratus atlet baru pertama kali bertanding di luar negara,” kata Taufiq. – KOSMO! ONLINE