PETALING JAYA – Pelakon Fattah Amin berjaya mencetuskan fenomena apabila video siaran langsung dalam aplikasi TikTok berjaya meraih lebih 100,000 penonton dengan 44 juta tanda suka atau ‘like’.
Kemunculan Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, sebagai artis jemputan bagi menjual makanan daging kambing perap itu juga dianggarkan terjual hampir 10,000 set dengan etiap satu set mempunyai tiga pek kambing perap dan dijual pada harga RM89.90.
Malah siaran langsung selama tiga jam bermula pukul 9 malam semalam itu turut mendapat reaksi positif daripada peminat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menonton siaran langsung dan juga mereka yang sudah membuat pembelian.
“Saya mendoakan agar mereka yang menonton ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan kalian semua. Terima juga kerana telah menyokong jenama ini,” katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Miimaland itu turut tidak menyangka aktiviti membuat siaran langsung di aplikasi terbabit amat memenatkan dan mencabar.
Bagaimanapun, Fattah mengakui pengalaman tiga jam berbuat demikian memberikan pengetahuan baharu yang menyeronokkan.
“Saya ini pertama kali buat buat siaran langsung selama ini. Rupanya penat juga buat live (siaran langsung) ini.
“Tak sangka. Tapi nak buat macam mana, demi mencari sesuap nasi buat juga. Lagi pun sekarang ini adalah platform digital yang menyediakan platform jualan,” katanya.
Fattah turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang telah memberikan pelbagai ‘gift’ bernilai tinggi kepadanya sepanjang siaran langsung berjalan.
“Terima kasih juga kepada mereka yang tidak henti-henti memberikan hadiah (gift) TikTok. Semoga segala kebaikan dibalas dengan kebaikan juga,” katanya.
Pada 12 Oktober lalu Fattah yang pertama kali melakukan siaran langusng dalam aplikasi berkenaan telah berjaya meraih hampir 50,000 tontonan pengguna dan mendapat lebih 26 juta tanda suka.
Sejak disahkan bercerai talak satu dengan bekas isterinya, Nur Fazura pada 7 Oktober lalu, populariti penyanyi lagu Wanita Terakhir itu melonjak dan meraih banyak perhatian netizen sehingga digelarkan duda ‘hot’. – KOSMO! ONLINE