fbpx

Disember ada kenaikan, Januari ada kenaikan, Februari ada bonus – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – “Bulan Disember ada kenaikan, bulan Januari ada kenaikan, bulan Februari ada bonus. Alhamdulillah.”

Demikian reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan untuk kelompok penjawat awam menerusi Belanjawan 2025 hari ini.

Anwar turut mengingatkan kakitangan awam untuk terus memberikan komitmen terbaik selaras dengan ‘ganjaran’ yang diberikan.

“Ingat, jangan cuai kerana peningkatan gaji dan upah dengan harapan (ada) peningkatan tanggungjawab,” pesannya.

Menerusi Belanjawan 2025, antara ‘durian runtuh’ yang bakal dinikmati penjawat awam adalah kerajaan bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

Bantuan khas itu diperuntukkan kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, manakala RM250 diberikan untuk pesara meliputi veteran berpencen dan veteran tidak berpencen yang akan disalurkan pada Februari 2025.

Jelas Amwar, selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelarasan pencen akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, Anwar turut mengumumkan gaji minimum untuk kesemua penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan.

Sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat, Anwar berkata, kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian Intan.

“Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga memperuntukkan RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

“LPPSA juga akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI