fbpx

Belanjawan 2025: ‘Rakyat beratur panjang, nombor giliran habis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kerajaan Madani bertekad menoktahkan permasalahan melibatkan urusan di kaunter kerajaan yang mana tiada lagi keperluan beratur panjang di pejabat kerajaan dan proses permohonan diselesaikan secara dalam talian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan rakyat ke pejabat kerajaan hanya untuk mengambil dokumen yang dilulus atau diperbaharui sahaja dengan tarikh temu janji telah ditetapkan dalam talian.

“Kita mengakui dengan sistem baharu dan pengiktirafan yang kerajaan berikan, ada perubahan positif melibatkan perkhidmatan kerajaan hasil sebahagian besar penjawat awam yang dedikasi dalam menjalankan tugas.

“Adapun, masih terdapat keperluan menambah baik beberapa hal yang dilihat merumitkan rakyat yang mahu berurusan dengan kerajaan. Ada sesetengah kes terpaksa mengambil cuti untuk menyelesaikan permohonan.

“Adakala juga perlu beratur panjang untuk nombor giliran dan sekiranya habis, terpaksa datang pada hari lain. Ini belum lagi rakyat dibebankan dengan mengisi pelbagai borang untuk maklumat yang sama,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk membantu rakyat, adakalanya ia merumitkan rakyat untuk memohon kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan kriteria yang berbeza.

“Kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat susah untuk memohon bantuan merentasi pelbagai agensi. Urusan kerajaan melibatkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan.

“Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan KWSP, Perkeso dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama? Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan menambah baik perkhidmatan kaunter-kaunter kerajaan sekali gus mempercepatkan urusan selain menoktahkan permasalahan dihadapi rakyat sewaktu berurusan dengan perkhidmatan awam.

Ia melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan yang mana telah mula menambah satu jam waktu operasi di kaunter, manakala sebuah UTC akan dibangunkan di Seberang Perai, Pulau Pinang dengan semua UTC juga akan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan.

Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan kerajaan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan kerajaan di luar waktu pejabat.

Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter kerajaan bermula tahun 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI