fbpx

Belanjawan 2025: Penyasaran subsidi petrol RON95 pertengahan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

“Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

“Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 berbanding negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

“Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion.

“Namun, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan,” katanya.

Anwar berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, beliau menegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat.

“Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI