fbpx

Belanjawan 2025: PDRM pastikan insentif dimanfaatkan sepenuhnya – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala insentif Belanjawan 2025 yang diperuntukkan dimanfaatkan sepenuhnya dengan tata kelola kewangan terbaik, demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan dan insentif ikhtiar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Katanya, pasukan itu menyambut baik dan menghargai jasa kerajaan dalam menyalurkan peruntukan yang bakal dinikmati warga PDRM.

“Sehubungan itu, PDRM akan memastikan segala insentif Belanjawan 2025 dimanfaatkan sepenuhnya dengan beramanah dan urus tadbir kewangan terbaik demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara sejajar dengan usaha kerajaan.

“PDRM kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan berpaksikan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen mengumumkan peruntukan lebih RM2.12 bilion bagi aset khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) demi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu.

Selain itu, empat pejabat polis baharu akan dibina dengan kos RM2.1 bilion membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Petaling Jaya, dan Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka.

Seterusnya, RM 5 juta disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah susulan kekangan bekalan air di kawasan Esszone, Sabah

Turut diumumkan lebih RM1.8 bilion disediakan bagi membina menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara, dan rumah keluarga angkatan tentera.

Anwar juga mengumumkan penjawat awam bakal menerima manfaat perlindungan sosial, ex-gratia bencana kerja yang bakal diperluas dan dipermudah antaranya ex-gratia operasi (RM50,000) ex-gratia pukal (RM20,000) dan kadar elaun layanan sentiasa (RM500 ke RM1,500).

Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara dan RM20 juta untuk memperhebatkan peranan Pusat Respons Penipuan Negara (NSRC).

Beliau turut mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI