PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari bangunan Perbendaharaan di sini ke Parlimen pada pukul 3.15 petang tadi untuk pembentangan Belanjawan 2025.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Ketika ditanya apakah ada berita baik mengenai kumpulan M40 untuk Belanjawan 2025, Anwar hanya mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat tanda bagus sambil tersenyum.
Sebaliknya, apabila ditanya mengenai bonus untuk penjawat awam, Anwar bagaimanapun tidak memberi apa-apa reaksi sebelum memasuki kereta menuju Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraftangan tempatan untuk membawa beg dokumen berwarna hitam dengan corak tenunan songket bersulam benang emas.
Kerja seni tenunan songket beg fail dokumen Belanjawan 2025 itu dihasilkan oleh pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan, manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Tambun itu kelihatan ceria dan segak berpakaian baju Melayu lengkap warna kelabu, bersampin dan berkasut.
Anwar menerusi hantaran di Facebook rasminya pagi tadi memaklumkan Belanjawan 2025 pastinya akan memberi manfaat buat rakyat terbanyak selain memperkukuh ekonomi dan pembangunan negara.
Menurutnya, tumpuan utama Belanjawan 2025 kali ini akan menggunakan pendekatan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan Mensejahtera Rakyat’.
Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pada Belanjawan 2024, Kerajaan Madani memperuntukkan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka. – KOSMO! ONLINE