PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.03 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar serta jemaah yang lain.
Solat Jumaat diimamkan oleh Ustaz Mohd Zikri Zainal dan disertai lebih 5,000 jemaah.
Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri kemudian akan bergerak ke bangunan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan) sebelum ke Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka sekitar 4 petang ini.
Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.
Ia juga adalah belanjawan terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. – KOSMO! ONLINE