PETALING JAYA – Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen petang ini dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat apabila jumlah peruntukan dijangka meningkat berbanding tahun lalu.
Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga yang dibentangkan oleh beliau sejak menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Madani.
Anwar yang dilihat berpakaian baju Melayu lengkap berwarna kelabu muda segak bersamping, membawa beg dokumen berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2025 sebelum meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan pada pukul 3.15 petang untuk ke Parlimen.
Lebih menarik perhatian, beg dokumen yang dibawa Anwar berwarna hitam dengan corak tenunan songket bersulam benang emas hasil seni pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan, manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.
Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ merupakan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMK13 bagi tempoh lima tahun akan datang.
Terdahulu, ramai yang berteka-teki mengenai warna baju Melayu yang bakal digayakan oleh Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025.
Semakan Kosmo! di Facebook dan aplikasi X, rata-ratanya meneka warna merah jambu dan hijau yang bakal menjadi pilihan Perdana Menteri ketika menyampaikan belanjawan ketiga Kerajaan Madani. – KOSMO! ONLINE