BALING – Seorang bapa tidak menyangka motosikal yang baharu dibaiki dan dinaiki dua anaknya terlibat dalam satu kemalangan sehingga meragut nyawa salah seorang daripadanya di Kampung Charuk Puteh, Mukim Siong, petang, semalam.
Mohd Naim Harun, 34, berkata, dalam kejadian itu, anak bongsunya, Muhammad Darimi Mohd Naim, 7, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak ketiga, Muhammad Daniyal Mohd Naim, 10, patah kaki kanan dan luka-luka di badan.
“Ketika kejadian saya sedang bekerja di Sik, sekitar pukul 3.30 petang saya dapat panggilan mengatakan anak terlibat dalam kemalangan. Sebaik sampai, saya lihat mayat Muhammad Darimi telah dilitupi kain setelah anggota bomba dan penyelamat berjaya membawanya keluar dari bawah van.
“Sebelum itu, kedua anak saya bersama rakannya, Muhamad Adam Daniel Mohd Azam, 10, menaiki motosikal yang baharu sahaja saya baiki setelah beberapa lama rosak,” kata Mohd Naim ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau, Mukim Siong, hari ini.
Menurutnya, motosikal tersebut dibaiki semula untuk kegunaan ahli keluarga tetapi tidak menyangka anak-anaknya menaiki motosikal tersebut ke jalan raya dengan jarak lebih kurang satu kilometer untuk pergi memancing di Sungai Ketil.
“Muhammad Darimi agak pelik sedikit kerana lebih manja dan rapat dengan saya daripada biasa, selain rajin berbanding sebelum ini. Tidur pun dengan saya,” katanya lagi.
Nenek mangsa, Juariah Raof, 67, berkata, sebelum kanak-kanak itu menunggang motosikal, mereka ada datang ke rumahnya bersama rakan-rakan.
“Muhammad Daniyal masuk ke rumah saya dan minta izin untuk solat zuhur sebelum pergi memancing. Saya agak pelik kerana itu pertama kali dia minta solat di rumah, manakala adiknya itu minta pisau tetapi saya tidak tahu mereka hendak buat apa,” kata Juariah.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seorang murid darjah satu maut selepas motosikal dinaiki bersama abang dan rakannya terlibat kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih, di sini. – KOSMO! ONLINE