KLANG – Ribuan pengguna jalan raya di Taman Kem, di sini terkandas apabila laluan dinaiki air sedalam 0.5 meter susulan air pasang ekstrem, hari ini.
Laluan tersebut dinaiki air sejak pukul 6.15 pagi sehingga menyebabkan kesesakan laluan dua hala ke Telok Gedung Indah dan Pelabuhan Klang sejauh satu kilometer.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, ada sebahagian pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal nekad mengharungi laluan tersebut dengan bantuan penduduk setempat.
Seorang operator kilang, Pasihah Bahrudin, 27, berkata, kejadian tersebut dianggap kali pertama berlaku sehingga menyebabkannya terlewat untuk ke tempat kerja hari ini.
“Saya cuba lalu tadi namun terjatuh susulan terdapat lubang di atas jalan raya tersebut.
“Nasib baik tiada kecederaan teruk dialami dan telah memaklumkan kepada majikan atas kelewatan kerja hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!, hari ini.
Sementara itu, Nur Shahirah Nasuha, 27, yang menaiki kereta memaklumkan telah terkandas sejak pukul 6.50 pagi.
Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan air pasang besar ekstrem menyebabkan laluan tersebut dinaiki air.
“Semalam masih boleh jalan meskipun berlaku air pasang. Ini pun tidak tahu pukul berapa boleh teruskan perjalanan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE