PUTRAJAYA – Penguatkuasaan kes berkaitan halal yang dilaksanakan bermula 1 Januari hingga 30 September lalu merekodkan sebanyak 53 kes dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sejumlah RM1.81 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara kesalahan dilakukan adalah berkaitan penggunaan logo halal palsu, tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa dan sebagainya.
Pada masa sama, katanya, KPDN turut melaksanakan pindaan ke atas Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang
diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
“Pindaan itu dilakukan bertujuan untuk mengemas kini senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim dalam Jadual Kedua, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Jakim telah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara pada tahun 2024, masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay, manakala dua adalah dari Rusia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Katanya, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 buah negara di seluruh dunia.
“Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober,” jelasnya.
KPDN juga berharap agar semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal.
“Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan dan boleh didenda bagi syarikat tidak melebihi RM200,000.
“Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000,” jelasnya.
Bagi individu pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE