KUALA LUMPUR – Seramai 37 individu ditahan dalam Op Tunjang disyaki terbabit dengan sindiket tuntutan palsu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka dituduh di mahkamah pada bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan dibuka susulan tangkapan itu.
“Setiap individu yang ditahan, ada kertas siasatan dibuka dengan setiap daripadanya ada saksi tersendiri. Malah, setiap kertas siasatan, ada seorang pegawai penyiasat ditugaskan untuk melengkapkan siasatan.
“Justeru itu, kami menjangkakan kertas siasatan kes ini akan selesai pada November supaya suspek terbabit boleh didakwa di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangi Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini, hari ini.
Azam berkata, meskipun tiada tangkapan susulan dibuat dalam operasi berkenaan, pihaknya akan terus berkerjasama dengan Perkeso untuk mengesan jika ada aktiviti seumpama itu dijalankan.
“Sebelum ini, kami ada menjalankan tujuh operasi utama bersama Perkeso di enam negeri.
“Berdasarkan operasi itu, kami mendapati sindiket ini tidak serik-serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mereka akan mengubah modus operandi lain.
“Justeru itu, pengesanan kepada aktiviti ini boleh diambil menerusi sistem dimiliki Perkeso yang boleh ‘trigger’ apabila ada kes diterima pihaknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkewo, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).
“Kami menjalinkan kerjasam dengan SPRM bagi meningkatkan tatakelola berlandaskan beberapa kes yang dikenal pasti menerusi penahanan 37 individu terbabit penipuan tuntutan Perkeso.
“Dari semasa ke semasa, kami akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di agensi ini bagi menutup ruang kepada salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu.
“Kami akan pastikan tuntutan palsu yang dibuat akan melalui proses penyiasatan termasuk membabitkan pihak SPRM yang tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi juga beberapa negeri lain,” katanya.
Sebelum ini, SPRM menahan 37 individu menerusi Op Tunjang terdiri daripada 19 pemohon, sembilan ejen, tiga ‘runner’ serta enam doktor perubatan yang dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu kepada Perkeso. – KOSMO! ONLINE.