fbpx

Wanita UK lega jatuh sakit di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik di Tiktok.

PETALING JAYA – Seorang wanita dari United Kingdom telah memuji tahap kecekapan perkhidmatan kesihatan di Malaysia selepas menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital di sini baru-baru ini.

Melalui sebuah video yang dimuat naik di TikTok, wanita tersebut menceritakan pengalaman pembedahan apendiks yang dilaluinya dan menzahirkan rasa kagum terhadap sistem perubatan Malaysia yang dianggapnya pantas dan cekap.

“Sembilan hari yang lalu, saya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital di Malaysia. Pada awal pagi Rabu, saya terjaga dengan rasa sakit perut yang teruk.

“Walaupun saya sangka ia akan hilang, kesakitan itu semakin bertambah sehingga menyebabkan saya muntah dan menggigil,” katanya dalam video tersebut.

Menurut wanita itu, dia tiba di hospital sekitar pukul 11 pagi. Dalam tempoh dua jam selepas ketibaannya, dia sudah menjalani beberapa ujian termasuk ujian darah, sampel air kencing, serta imbasan CT.

Hasil diagnosis mengesahkan bahawa dia mengalami apendiks yang memerlukan pembedahan segera.

“Saya sangat takut kerana ini bermakna saya perlu menjalani pembedahan, dan saya tidak pernah melalui sebarang pembedahan sebelum ini. Menakutkan juga kerana saya berada jauh di seberang dunia, hanya ditemani suami, Sam, dan anak-anak,” tambahnya.

Proses pembedahan berjalan lancar, di mana wanita itu masuk bilik bedah sekitar pukul 5 petang dan selesai menjalani pembedahan pada pukul 8 malam, hanya sembilan jam selepas dia tiba di hospital.

Wanita itu juga memuji kemudahan hospital yang membolehkan dia dan keluarganya menaik taraf bilik mereka kepada bilik VIP, yang dilengkapi dengan ruang makan, ruang tamu, dan bilik tidur yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Namun, selepas lima hari, wanita tersebut mengalami alahan terhadap antibiotik yang diberikan menyebabkan dia dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Walau bagaimanapun, dia kini telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah untuk rawatan susulan.

“Pengalaman saya dengan penjagaan kesihatan di Malaysia adalah hebat, dan saya rasa bersyukur perkara ini berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, dia turut memberitahu jumlah kos rawatan termasuk pembedahan, ubatan dan penginapan Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak RM40,582.

“Kesemuanya dibayar oleh syarikat insurans dan kami tidak perlu membayar walaupun satu sen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI