PETALING JAYA – Timbul persoalan dalam kalangan orang ramai tentang hukum menjual sesuatu barangan pada harga yang tinggi serta tidak masuk akal.
Menerusi satu perkongsian oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus di laman sosialnya, beliau berkata, perbuatan tersebut tidak mendatangkan dosa.
Malah katanya, selagi perkara itu tidak memudaratkan orang ramai ia dibolehkan.
“Dia beli dulu RM6,000 je Yamaha RXZ, jadi ada orang tawar (beli) RM50,000. Boleh tak jual? Boleh, siapa suruh bodo (bodoh) beli RM50,000,”selorohnya pada satu sesi soal jawab di sebuah masjid baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ustaz Azhar berkata ada dua benda yang dilarang untuk menaikkan harga jualan semasa proses jual beli.
“Yang pertama, harga barangan yang telah ditetapkan oleh pemerintah itu tak boleh. Contohnya bawang, lada, minyak masak yang memang sudah ditetapkan harganya. Itu keperluan orang ramai.
“Kedua, barangan keperluan orang ramai tetapi pemerintah tak tetapkan harga. Itu juga tidak boleh (menaikkan) harga melampau-lampau kerana ia menyusahkan orang ramai,”ujarnya.
Mengulas lanjut Ustaz Azhar berkata, sekiranya barang yang hendak dijual itu adalah motosikal RXZ, cermin mata RayBan, burung terkukur ataupun mata cincin itu bukan keperluan manusia.
“Ikut pandailah nak jual berapa pun. Contohnya beli mata cincin di Burma (Myanmar) RM10, di sini ditawar RM10 juta. Ikut dialah nak jual berapa.
“Orang bodoh belilah (cincin itu), tapi itu bukan keperluan masyarakat,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE.