fbpx

Tiada bukti kukuh pegawai kerajaan, pemimpin politik terlibat GISBH – KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara serbuan dilakukan pihak berkuasa terhadap rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan mahupun pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berdasarkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, walaubagaimanapun, KDN tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

KDN berkata demikian menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH- Kepong) apakah terdapat pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH.

Beliau dalam masa sama turut meminta penjelasan, adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja diperlukan berhubung jenayah yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

KDN menjelaskan, pihaknya tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung perkara itu.

Jelas KDN, pihak PDRM harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh mereka masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.

“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara.

“Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” jelas KDN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI