AMPANG JAYA – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan bahawa kediaman penduduk yang ditinggalkan ekoran terjejas dengan insiden tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini berada dalam keadaan selamat.
Katanya, pihak polis bersama agensi penguat kuasa yang lain sentiasa memantau serta menjalankan kawalan ketat di lokasi kejadian.
“Jalan yang ditutup dan juga rumah-rumah (penduduk terjejas) dalam keadaan yang baik. Pihak polis beri jaminan jaga rumah sehingga penghuni balik ke rumah masing-masing
“Keadaan di tempat PPS (Pusat Pemindahan Sementara) pun dalam keadaan baik, agensi berkaitan main peranan mengambil bahagian dalam memastikan mangsa-mangsa ada kebajikan dari segi makan minum, kebersihan dan keperluan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya bersama beberapa wakil agensi yang lain termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya bakal mengadakan mesyuarat pada sebelah petang bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan bencana tersebut.
“Petang ini akan ada mesyuarat antara polis dan wakil agensi, kita akan bincang sama ada penduduk boleh balik atau tidak (kediaman). Ia melibatkan mesyuarat penyelarasan bencana.
“Kita berharap, mitigasi untuk bencana dilakukan segera dalam masa terdekat,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan hujan lebat sejak awal pagi kelmarin mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, di sini dan menyebabkan 21 unit rumah teres terputus laluan utama. – KOSMO! ONLINE