fbpx

Tak komen sebab takut bercanggah dengan prosiding mahkamah – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUHAINIES bersama peguamnya, Muhammad Amirul (kiri) selepas prosiding sebutan semula kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

KUALA LUMPUR – Peguam syarie yang mewakili pelakon Ruhainies dan Aliff Aziz iaitu Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani menegaskan tindakan anak guamnya menolak memberi sebarang kenyataan kerana bimbang bercanggah dengan prosiding mahkamah selepas sebutan semula kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Menurutnya, Aliff dan Ruhainies juga menghormati prosiding mahkamah yang masih berjalan ketika ini.

“Kalau ikutkan prosiding hari ini, hanya berlaku pertukaran penjamin dan serahan beberapa dokumen oleh pihak pendakwaan.

“Pertama, mereka tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana enggan mendahului prosiding yang berlangsung termasuk pada Februari depan.

“Kedua, saya pasti Aliff dan Ruhainies menghormati mahkamah serta ingin fokus terhadap kes ini termasuk tidak mahu keluarkan sebarang kenyataan lagi yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga mengganggu prosiding mahkamah.

“Nasihat kami sebagai peguam kepada mereka adalah untuk memastikan tiada kenyataan yang mendahului prosiding mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Amirul turut menafikan berlaku sebarang kemelut antara dua anak guamnya dengan pihak pendakwa syarie.

“Tiada ketegangan yang tercetus antara anak guam dan pendakwa syarie hari ini. Biasalah itu prosiding teratur dan dijalankan mengikut sebagaimana yang mahkamah perintahkan.

“Kalau ikut rekod kami, dua anak guam tidak mengaku bersalah dan memohon untuk kes ini dibicarakan.

“Ditetapkan pada sidang 20 Februari 2025 untuk keterangan dikemukakan pihak pendakwaan,” ujarnya.

Tambah Amirul, hari ini juga berlaku pertukaran penjamin membabitkan pihak Aliff kerana individu yang sebelum ini terikat dengan komitmen kerja.

“Ada pertukaran penjamin sebab yang sebelum ini mempunyai komitmen kerja.

“Kita faham penjamin ini bukan sekadar di atas kertas, tapi ada obligasi untuk memastikan kehadiran orang yang dijamin.

“Kita sudah maklumkan kepada mahkamah dan diluluskan atas alasan yang mewajarkan keputusan berkenaan,” ujarnya lagi.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan dua hari iaitu 20 dan 27 Februari 2025 bagi perbicaraan kes khalwat dua pelakon tersebut.

Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz memutuskan perkara itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan.

Pegawai Pendakwa Syarie, Masroha Duki dan Mohd Nahar Mohamad dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kes antaranya senarai saksi-saksi.

Mendengar perkara itu, peguam syarie mewakili Aliff dan Ruhaninies mengesahkan dokumen berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Terdahulu pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.

Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN