EMOSI larut bersama muzik. Ungkapan sebegitu cukup bagi menggambarkan impak persembahan penyanyi Sal Priadi dalam konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur yang menghimpunkan penonton hampir kesemua Gen Z, baru-baru ini.
Gelanggang Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan cemerlang pemuzik asal Malang, Indonesia itu yang disambut gema suara pemujanya sebaik sahaja langkahnya diatur menguasai pentas menebarkan bunyi-bunyian unik.
Tepat pukul 8.30 malam, pentas terlebih dahulu dibuka dengan persembahan artis tempatan iaitu Sissy Imann yang membawakan lagu Pesanan Ayahanda sebagai sesi pemanas pentas.
Sejurus itu, kemunculan pemilik nama lengkap Salmanto Ashrizky Priadi di pentas disambut dengan jeritan sekitar 2,500 peminat, barangkali sudah sekian lama menantikan malam bersejarah tersebut berlangsung depan mata.
Malam healing
Khalayak terutama peminat maklum, rantaian lagu sarat galau jejaka bersuara seksi itu pasti akan membawa khalayak ke dimensi memori imbasan semula kisah cinta yang mungkin seiring lirik lagu-lagu nyanyiannya.
Antara repertoire persembahan termasuklah, Semua Lagu Cinta, Biar Jadi Urusanku dan Di Mana Alamatmu Sekarang diikuti dengan lagu yang membuat penonton terdiam menikmati syahdunya lirik seperti Ada Titik-Titik Di Ujung Doa dan Malam Malam, Ubud.
Sal melantunkan 24 dendangan termasuk seleksi daripada album keduanya iaitu Markers & Such Pens Flashdisks.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan deretan muzik galau berikutnya seperti Lewat Sudah Pukul Dua, Hi, Selamat Pagi dan Episode.
Gaya penyampaian jejaka berusia 32 tahun itu sepenuh jiwa seiring ekspresi memperkuatkan lagi emosi, menyentuh hati ramai, terutama ketika lagu Kita Usahakan Rumah Itu dan Mesra Mesraannya Kecil-Kecilan Dulu berkumandang.
Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘healing’ mengalirkan air mata, barangkali teringat kenangan mengusik jiwa kecil yang sekian lama terpendam.
Emosi bak roller coaster, gelanggang yang tadinya syahdu kembali gempita apabila Sal membuat audiens tidak senang duduk, terasa mahu melompat menikmati alunan rancak menerusi dendangan Foto Kita Blur dan Misteri Minggu Pagi.
Monolog muzikal
Meneruskan energi konsert pada skala kemuncak, malam gemilang diteruskan dengan segmen monolog muzikal.
Sebelum lagu dinyanyikan, Sal bermonolog terlebih dahulu diiringi lakonan bahasa tubuh para penari di pentas.
Pada segmen tersebut, Sal melantunkan lagu yang begitu popular dalam TikTok berjudul Dari Planet Lain, Ya Sudah dan Zuzuzaza.
Seperti dijangka, nyanyiannya menjadi ‘sing along’ di bibir penonton yang sudah sebati melumati setiap bait lirik dan melodi berkenaan.
Kemudiannya, lagu Irama Laot Teduh, Dalam Diam dan Serta Mulia mula berkumandang membuatkan audiens menjerit seperti histeria barangkali sudah lama menunggu lagu tersebut dinyanyikan secara langsung.
Jujur, bagi penulis, segmen berkenaan sangat unik namun apa yang menjengkelkan adalah lakonan dan monolog yang dilakukan seperti terlalu mencuba serta ‘overacting’ sehingga menimbulkan rasa ‘tidak selesa’.
Dalam konotasi mencuba untuk memahami hala tuju konsert, penulis memaksa diri untuk kekal sehingga ke akhir persembahan.
Jiwa seperti direntap apabila jejaka hitam manis itu kemudian melantunkan lagu Amin Paling Serius, Kultusan dan Mencintaimu. Tanpa monolog dan lakonan ‘over’, setiap bait dinyanyikan begitu menyentuh hati, terasa ikhlas.
Melihatkan sekeliling, audiens kembali senyap malah ada yang memeluk erat pasangan masing-masing menikmati nyanyian penuh emosi tersebut.
Stamina, energi membuak
Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi susuk pemuzik genius itu.
Ketika peminat larut dalam kesyahduan paduan suara, kepanasan kemudian diteruskan dengan lagu Ikat Aku di Tulang Belikatmu sebelum menutup persembahan.
Kata penyanyi dan pencipta lagu itu, dia bersyukur muzik dan karyanya diterima baik peminat di Malaysia malah berjanji akan kembali ke sini dengan lebih banyak idea dan dendangan baharu.
“Kalian terbaik! Terima kasih kerana menghargai karya dan nyanyian saya. Sebagai pemuzik, ini adalah momen terindah dalam karier saya.
“Tiada apa yang saya mampu balas selain berjanji sekiranya ada peluang dan ruang, saya akan kembali lagi di Malaysia untuk menghiburkan kalian semua dengan karya yang baharu dan lebih baik.
“Saya sayang kamu semua!,” teriaknya sebelum melantunkan lagu seterusnya.
Tidak berundur tanpa lagu wajib, Gala Bunga Matahari sebagai seruan buat semua yang pernah merasai kehilangan orang tersayang, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa.
Menutup persembahan dengan lagu I’d Like Watch You Sleeping, suara bapa kepada seorang cahaya mata itu tetap sama seperti alunan pertama dinyanyikan. Stamina dan energinya cukup luar biasa malah tidak kedengaran semput sama sekali.
Kehadiran ribuan penonton yang kadangkala terpaksa berhimpit menjadi bukti konkrit, karya Sal berjaya melukis memori bersama lalu larut dalam alunan lirik-lirik lagu penuh makna.
Tiada frasa yang dapat menggambarkan situasi malam bersejarah itu selain ‘terbaik’. Meskipun ada segmen yang sedikit ‘cringe’ namun kredibiliti Sal sebagai seorang penyanyi mengaburi semua kekurangan.