PETALING JAYA – Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) telah meluluskan cadangan pembangunan ruang sosial dan fizikal di dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan strata kos rendah dalam bandar.
Kementerian Perpaduan Negara berkata, langkah itu bertujuan memperkasa dan memperkukuhkan perhubungan selain pembangunan komuniti di negara ini melalui ruang sosial dan fizikal sebagai tapak integrasi selaras dengan usaha Pemerkasaan KRT Progresif.
Menurutnya, kawasan perumahan strata kos rendah itu juga mengikut saranan dan persetujuan antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), pengerusi KRT, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk terlibat dalam projek ini.
“Tapak dipilih berdasarkan keaktifan dan partisipasi positif KRT dan penduduk setempat; kawasan berpopulasi padat dan kawasan perumahan strata tanpa ruang komunal/ruang komunal terhad/ruang sedia ada yang perlu penambahbaikan seiring dengan keperluan semasa.
“Projek ini juga diharap dapat memperkasakan komuniti dengan memberi mereka ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kejiranan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MPPN itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen semalam.
Mesyuarat turut membincangkan mengenai Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pada masa sama, mesyuarat turut bersetuju agar keahlian MPPN ditambah baik dengan melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.-KOSMO! ONLINE