fbpx

Ragbi Piala Agong: PDRM sedia bedil Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PDRM mahu mengesahkan tempat ke final dengan menewaskan Terengganu di separuh akhir pada Sabtu ini.

TIADA belas ihsan dalam padang. Itulah kata-kata semangat skuad ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal berdepan Terengganu menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2024 menentang Terengganu di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu ini.

Pengurus ragbi PDRM, ACP Nasri Mansor menegaskan, walaupun para pemain mereka menghormati Terengganu di luar padang, namun sebaik wisel ditiupkan, tiada kompromi akan diberikan kepada pasukan lawan.

Menurut Nasri, beberapa pemain Terengganu sebelum ini pernah bermain bersama PDRM tahun lalu tetapi itu tidak akan menghalang misi mereka untuk mempertahankan gelaran juara edisi 2023.

“Kita akui perlawanan pada Sabtu nanti ibarat pertembungan final kerana kedua-dua pasukan akan bekerja keras untuk menempah tiket ke final.

“Terengganu juga dibarisi pemain bintang yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan, malah terdapat pemain mereka pernah membantu PDRM menjulang gelaran edisi lalu.

“Hubungan baik di luar padang tidak mengubah hakikat bahawa di dalam padang nanti mereka adalah lawan yang perlu ditewaskan,” kata Nasri.

Walaupun Terengganu mempunyai reputasi yang hebat sebagai bekas juara Piala Agong, Nasri tetap yakin PDRM bakal menurunkan strategi terbaik untuk mengekang asakan lawannya itu.

“Kami sentiasa memperbaiki taktik kami. Tidak boleh leka, kami perlu bekerja lebih keras untuk berdepan Terengganu di separuh akhir. Insya-Allah, kami harap dapat mara ke final lagi tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PIALA AGONG

JADUAL

SEPARUH AKHIR

PDRM lwn TERENGGANU, 2pm

SELANGOR lwn JOHOR, 4pm

*Semua aksi berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI