fbpx

K2

Penentuan kadar nafkah isteri ikut kemampuan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penentuan nafkah kepada isteri tertakluk kepada kemampuan suami. – Gambar hiasan

Dalam dunia sekarang, kebanyakan isteri memiliki pendapatan lebih tinggi daripada suamì. Bagaimanakah pelaksanaan pemberian nafkah yang selayaknya? Jelas maklum bahawa nafkah adalah hak isteri dan tanggungjawab suami, tetapi bagaimana suatu hak si isteri perlu berdasarkan kemampuan suami? Bukankah suatu hak itu perlu memenuhi keperluan si isteri iaitu penerima nafkah itu sendiri?

Jawapan: Perkahwinan merupakan salah satu sebab yang mewajibkan nafkah. Nafkah kepada isteri adalah nafkah yang kedua paling utama selepas nafkah kepada diri sendiri. Ia juga lebih diutamakan daripada nafkah kepada anak dan ibu bapa.

Tambahan pula, nafkah isteri adalah kewajipan suami yang wajib ditunaikan, walaupun jika isteri lebih kaya. Hukum ini telah sabit berdasarkan nas-nas syarak dan juga ijmak berdasarkan firman Allah SWT: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, 233)

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi berkata: “Adapun nafkah isteri, maka hukumnya wajib berdasarkan nas-nas syarak dan juga ijmak.”

Konteks ayat di atas jelas menerangkan bahawa menyusukan anak merupakan tugas isteri, manakala kewajipan suami adalah untuk memberi nafkah kepada kepada isteri.

Selain itu, hak nafkah tidak akan gugur daripada suami walaupun telah berlalu masa yang lama, sebaliknya ia menjadi beban hutang yang perlu dilunaskan suami kepada isteri.

Hal ini disebutkan oleh Imam al-Shirazi, kata beliau: “Jika wujud tamkin yang mewajibkan nafkah tetapi si suami tidak memberi nafkah (kepada isteri) selepas berlalu satu tempoh, maka nafkah itu menjadi beban hutang kepada suami dan tidak akan gugur dengan tempoh masa berlalu.”

Hal ini menunjukkan betapa nafkah ini perkara penting yang mesti dititikberatkan oleh suami dan isteri demi menjaga kebajikan isteri dan keberlangsungan rumah tangga.

Bahkan dalam keadaan tertentu, isteri dibolehkan untuk meminta fasakh jika suami tidak mampu untuk memberikan nafkah kerana nafkahlah yang menjadikan suami itu pemimpin dan pengawal isteri.

Namun, hal ini mestilah dibawa ke mahkamah syariah dan berasaskan pertimbangan hakim terhadap keadaan suami.

Firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Al-Nisa’:33)

Para ulama telah menyebut bahawa nafkah yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isteri adalah seperti berikut iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alatan pembersihan diri, alatan penyediaan makanan, tempat tinggal yang selayaknya dengan keadaan isteri, perabot, alatan penyejuk dan pemanas badan, pembantu rumah isteri jika kebiasaan isteri. Adapun kehendak-kehendak isteri yang lebih daripada itu hanya atas ihsan suami yang tidak wajib.
Menurut mazhab Syafi’i, pihak yang diambil kira dalam penentuan nafkah adalah berbeza-beza mengikut jenis nafkah. Bagi nafkah makanan, yang diambil kira adalah kemampuan suami sahaja sama ada susah, sederhana atau senang. Bagi pakaian pula, bilangan pakaian yang wajib diberi adalah bergantung kepada keperluan isteri, manakala kualiti pakaian bergantung kepada kemampuan suami.

Manakala bagi nafkah tempat tinggal, ia perlu disediakan bersesuaian dengan kelayakan isteri.

Jelas bahawa keperluan isteri tetap diambil kira dalam nafkah selagi mana ia di bawah kemampuan suami kerana nafkah merupakan kewajipan suami yang diwajibkan oleh syarak, dan Allah tidak akan membebankan hamba dengan tanggungjawab dan kewajipan di luar kemampuannya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Surah al-Baqarah (286)

Selain itu, Allah SWT juga berfirman secara khusus tentang nafkah berdasarkan kemampuan suami:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”Surah Al-Talaq (7)

Kesimpulannya, nafkah mestilah dititikberatkan oleh pasangan suami isteri kerana ia merupakan kewajipan suami yang tidak akan gugur walaupun isteri seorang yang kaya selagi mana isteri tidak nusyuz.

Penentuan nafkah mengambil kira juga keperluan isteri, namun tetap tertakluk kepada kemampuan suami kerana ia merupakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak ke atas suami dan syarak tidak akan bebankan seseorang dengan kewajipan di luar kemampuannya.

Para suami dan isteri dinasihatkan untuk bertoleransi antara pasangan tanpa mengabaikan kewajipan dan hak masing-masing di samping mendalami ilmu agama khususnya bab pengurusan rumah tangga. Wallahua’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI