fbpx

Malaysia di landasan tepat hadapi SOJC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi kuning) berjaya menewaskan Great Britain 1-0 pada aksi persahabatan menjelang Piala Sultan Johor 2024 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam. - RAJA JAAFAR ALI

PETALING JAYA – Hasrat skuad hoki remaja negara untuk menghadapi aksi persahabatan ketiga menentang India hari ini tidak kesampaian sebagai persediaan terakhir menghadapi Piala Sultan Johor (SOJC) yang akan membuka tirainya bermula Sabtu ini.

Begitupun, ia sama sekali tidak menjejaskan motivasi para pemain bawah 21 tahun (B-21) negara yang kini bersemangat tinggi susulan dua kemenangan dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

Skuad Young Tigers kendalian I. Vikneswaran berjaya menewaskan bekas juara tiga kali SOJC, Great Britain 1-0 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam dan New Zealand pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Vikneswaran enggan mendabik dada kerana percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan khususnya dari aspek penyudah yang mana setiap peluang terhidang perlu diterjemahkan sebaiknya.

“Kita tidak boleh jadikan aksi pemanas badan sebagai ukuran kerana pada aksi sebenar nanti pastinya berbeza. Jadi, kita tidak boleh terlalu berpuas hati.

“Dalam perlawanan semalam (menentang Great Britain), kita telah melepaskan dua peluang gol padang serta dua pukulan sudut penalti. Ketajaman penyudah ini sememangnya antara tumpuan yang kita beri keutamaan untuk meraih kemenangan,” ujarnya.

Menentang Great Britain semalam, skuad muda negara hampir membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi dua pukulan sudut penalti, namun dipatahkan oleh pertahanan pasukan lawan.

Gol yang diburu Young Tigers hadir pada pada suku ketiga perlawanan menerusi pukulan sudut penalti diambil Muhammad Nabil Irfan Mohd. Yusof.

Berdasarkan prestasi keseluruhan, Young Tigers dilihat pada landasan tepat untuk membuka tirai kejohanan dengan kemenangan apabila turun berdepan New Zealand pada pukul 8.35 malam Sabtu ini.

Selepas bertemu New Zealand, skuad muda negara yang kali terakhir bergelar juara sewaktu edisi pertama pada 2011 akan bertemu Jepun (Ahad) diikuti India (Selasa), Great Britain (Rabu) dan Australia pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI