SABAK BERNAM – Lima kawasan pesisir pantai, jalan dan halaman rumah penduduk di daerah dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar hari ini.
Lokasi itu antaranya melibatkan sekitar Bagan Sungai Besar, Bagan Nakhoda Omar, kawasan rekreasi Batu 23 Sungai Nibong dan Bagan Sekinchan. Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa atau pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Samsol Maarif Saibani berkata, paras air pasang direkodkan setinggi 5.7 meter dan menyebabkan limpahan air kira-kira 0.2 meter di lokasi terlibat.
Jelas beliau, pihaknya menjalankan pemantauan menyeluruh selama dua jam bermula kira-kira pukul 4 pagi tadi.
“Kawasan di Bagan Sungai Besar didapati berlaku limpahan air di jalan berdekatan Lorong 5 ke parit pembuang. Bagi kawasan Bagan Nakhoda Omar, ia melibatkan sekitar pesisir pantai dan laman rumah penduduk,” katanya kepada pemberita.
Menurut Samsol, limpahan air turut berlaku di semua kawasan rekreasi Batu 23 Sungai Nibong berikutan paras air laut tinggi, manakala tinjauan di Bagan Sekinchan juga mendapati air melimpah ke semua lorong jalan penempatan berdekatan.
“Selain itu, ia melibatkan beberapa kawasan kunci air seperti di Sungai Haji Dorani, Sungai Pulai, Pintu Air Sungai Burung dan tapak projek Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang,” ujarnya.
Jelasnya, fenomena air pasang itu bagaimanapun masih terkawal dan surut sepenuhnya kira-kira pukul 6 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE