GEORGE TOWN – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. telah mengambil tindakan segera untuk membaiki paip yang terjejas di lokasi kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak, di sini.
Jurucakap IWK berkata, kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga tujuh hari.
“Tindakan yang diambil termasuk menggerakkan pasukan pembaikan selain berkoordinasi dengan Jabatan Kerja Raya serta Pejabat Exco untuk melaksanakan penutupan jalan, memasang penghadang keselamatan dan mengalihkan lalu lintas demi keselamatan orang ramai.
“Pasukan IWK masih menyiasat punca utama kejadian yang mungkin disebabkan oleh hujan lebat dan pergerakan pada paip bawah tanah,” katanya di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian lubang benam yang mengakibatkan tayar sebuah bas sekolah tenggelam di kawasan itu.
Menurut IWK, sepanjang tempoh membaiki paip tersebut, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif kerana akses ke Taman Sri Nibong melalui Krystal Point akan ditutup sementara.
“IWK tetap komited untuk memastikan operasi sistem pembetungan di kawasan tersebut berjalan dengan selamat dan efisien, demi menjaga kesihatan awam serta alam sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE