SHANDONG – Pengendali skuad Indonesia, Shin Tae-yong mengkritik taktikal ‘parkir bas’ yang digunakan oleh China selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 dalam aksi Kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Qingdao kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad Sang Garuda dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan tetapi China berjaya meraih dua gol menerusi serangan balas pantas manakala pemain tengah, Thom Haye hanya merapatkan jurang pada penghujung saingan.
Menurut Tae-yong, corak permainan negatif yang ditampilkan oleh pasukan China adalah sesutu yang mengejutkan, tetapi inilah lumrah bola sepak yang perlu diterima oleh barisan pemainnya di pentas antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan China dan anda boleh lihat kedua-dua pasukan sangat terdesak untuk meraih kemenangan pada perlawanan ini. Namun, akhirnya China yang berjaya meraih tiga mata berharga kerana keinginan mereka lebih besar.
“Cuma, saya agak terkejut kerana pasukan lawan mempamerkan strategi ‘kick and rush’ yang agak kasar dengan menerjah pemain kami selain menggunakan hantaran jauh sepanjang perlawanan.
“Justeru, saya harap pasukan menjadikan kekalahan ini sebagai pengajaran dan bangkit pada perlawanan kelayakan bulan depan,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.
Skuad Sang Garuda akan mengharungi aksi yang lebih getir apabila dijadual bertemu Jepun dan Arab Saudi di Jakarta pada bulan depan. – AGENSI