SELEPAS lebih dua bulan melakukan proses pencarian jurulatih baharu, Persatuan Bola Sepak (FA) England akhirnya membuat keputusan untuk melantik bekas pengendali Bayern Munich, Thomas Tuchel sebagai pengurus baharu The Three Lions menggantikan Gareth Southgate yang meletakkan jawatan.
Southgate meninggalkan England selepas pasukan itu tewas pada aksi final Euro 2024 kepada Sepanyol pada Julai lalu memaksa FA melantik Lee Carsley sebagai pengurus interim dan selepas beberapa calon berada dalam pertimbangan, Tuchel muncul sebagai pilihan apabila bersetuju menandatangani kontrak selama 18 bulan.
Sepanjang karier kejurulatihan, Tuchel boleh dianggap sebagai antara jurulatih yang berada dalam kelompok elit selepas merangkul 11 kejuaraan sepanjang karier kejurulatihannya termasuk gelaran quadruple bersama Paris Saint-Germain pada musim 2019/20 dengan memenangi kejuaraan Ligue 1, Piala Perancis, Piala Liga Perancis dan Trofi Kejuaraan Perancis.
Selain itu, beliau juga meraih kejuaraan DFB-Pokal bersama Borussia Dortmund serta tiga gelaran bersama Chelsea iaitu Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia dan Piala Super Eropah dan kali terakhir membantu Bayern Munich mengekalkan kejuaraan Bundesliga musim 2022/23.
Bagaimanapun, Carsley akan terus kekal mengemudi England untuk dua perlawanan pada November nanti sebelum Tuchel hanya akan memulakan tugasnya pada Januari tahun depan selepas dia bersetuju untuk menerima pemotongan gaji sebanyak £1.5 juta (RM8.43 juta) demi mendapatkan jawatan itu berbanding pendapatan £7.5 juta (RM42.18 juta) setahun diterimanya ketika di Allianz Arena sebelum ini.
Tuchel juga menjadi pengendali ketiga England yang merupakan warga asing selepas Sven-Goran Eriksen dan Fabio Capello.