fbpx

Dua diburu kes samun jongkong emas RM5.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (dua kiri) menunjukkan antara barang rampasan kes samun jongkong emas pada sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini. FOTO: FARIZ RUSADIO/KOSMO!

SHAH ALAM – Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat pedagang emas di Kompleks Industri Puchong pada 13 September lalu.

Kedua-dua individu dikenali Tuan Nazrin Shah Tuan Nasir dan M. Sharuddin Majid yang berusia 28 dan 35 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku ketika seorang mangsa sedang meletakkan jongkong seberat kira-kira 16.9 kilogram di tempat duduk belakang kenderaan syarikat itu, kira-kira pukul 11 pagi.

“Mangsa didatangi sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki empat suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

“Pengadu itu kemudian dipukul dan diacu parang sebelum suspek mengambil beg berisi jongkong tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.

Jelas beliau, hasil maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya memberkas lima lelaki dan dua wanita berusia 27 hingga 60 tahun pada pada 8 hingga 14 Oktober lalu.

Polis turut merampas dua kereta dan peralatan samun selain barang kemas serta sejumlah wang tunai.

“Kita juga percaya suspek menggunakan hasil jual beli jongkong itu untuk membeli kenderaan mewah,” ujarnya.

Tambah Hussein, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaa dan polis menyeru orang ramai tampil menyalurkan maklumat kepada IPD Serdang di talian 03-80742222,” katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis memberkas seorang lelaki di Kota Tinggi, Johor, kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Seksyen U13 di sini, 6 Oktober lalu.

“Dalam kejadian pukul 2.47 pagi itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM300,000 selepas suspek memecah masuk menerusi tingkap tandas rumah berkenaan.

“Suspek berusia 33 tahun itu bagaimanapun dicekup di Johor pada 9 Oktober lalu dan turut merampas hasil samun tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI