fbpx

Daim dirawat, pendakwa pertikai surat hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini memohon perintah Mahkamah Sesyen di sini agar Hospital Assunta mengemukakan laporan perubatan penuh Tun Daim Zainuddin bagi menjelaskan tahap kesihatan bekas Menteri Kewangan itu selepas dimasukkan ke hospital semalam.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How berkata, surat bertarikh semalam (16 Oktober) yang dilampirkan oleh pihak pembelaan, tidak menyertakan alasan mengapa Daim, 86, dimasukkan ke hospital atau butiran penyakit yang dialaminya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan turut memohon perintah mahkamah agar doktor yang merawatnya serta jururawat yang menandatangani surat berkenaan hadir menjelaskan keadaan kesihatan bekas Menteri Kewangan itu ekoran ketidakhadirannya pada prosiding hari ini.

“Kami mempunyai alasan yang cukup kuat untuk mengemukakan permohonan tersebut kerana surat yang dikeluarkan tidak menyertakan alasan mengapa Daim dimasukkan ke hospital,” ujar Chin How.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi tidak mengeluarkan sebarang perintah terhadap permohonan itu setelah berpendapat isu ketidakhadiran Daim tidak perlu diperbesar-besarkan kerana mahkamah sudah mengecualikan kehadirannya pada prosiding hari ini. Isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir selaku penjamin beliau.

Azura sepatutnya menyampaikan keputusan permohonan pendakwaan agar Daim menjalani pemeriksaan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menentukan sama ada beliau layak dibicarakan terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta yang dimilikinya.

Pihak pendakwaan mahukan tahap mentalnya dinilai terlebih dahulu sebelum perbicaraan bermula selain memastikan sama ada beliau telah memberikan arahan yang sempurna kepada pasukan peguam yang mewakilinya.

Bagaimanapun, Azura menetapkan 20 November ini bagi hujahan lanjut selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI