fbpx

Budak 12 tahun diculik di Klang nyaris dijual kepada sindiket pelacuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang dekat sini dipercayai cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.

Mangsa berusia 12 tahun sebelum itu dipercayai turut dicabul oleh beberapa suspek yang menculiknya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian kanak-kanak itu menaiki sebuah kereta bersama empat suspek termasuk seorang wanita yang dikenalinya 8 Oktober lalu.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri di Setia Alam di sini dan ‘ditahan’ selama empat hari.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dipercayai dicabul secara seksual oleh dua suspek di rumah sewa berkenaan.

“Selain itu, suspek mahu menjual mangsa kepada sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur, namun sindiket itu enggan membeli selepas melihat hebahan polis mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.

Menurut Hussein, kegagalan itu menyebabkan suspek menyuruh mangsa pulang ke rumahnya dengan menaiki kenderaan e-hailing pada 12 Oktober lalu.

“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu diberikan rokok elektronik (vape) supaya dia khayal. Mangsa dipercayai turut didera, namun tidak ketara dan turut diberikan makanan sepanjang tempoh penculikan itu,” ujarnya.

Setakat ini suspek berusia 13 hingga 23 tahun yang ditahan sekitar Shah Alam, Klang dan Segambut, Kuala Lumpur masih direman.

“Kita akan pohon tempoh lanjutan reman terhadap mereka yang berakhir esok. Polis kini memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI