BACHOK – Balu kepada seorang nelayan yang meninggal dunia akibat lemas semasa memancing untuk mencari rezeki terharu apabila dia layak menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,396 secara bulanan sepanjang hayatnya.
Siti Nor Zuriati Abdullah, 38, tidak menyangka potongan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM23.20 setahun dengan Perkeso oleh suaminya bermula awal tahun ini memberi manfaat kepada keluarga.
Menurutnya, arwah suami, Mahmud Ali, 58, ditemui mati lemas di Sungai Kampung Madat Badang, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu pada 18 September lalu selepas keluar memancing sehari sebelumnya.
“Saya bersama dua anak kecil, Mardiah Safiah, 3, dan Maryam Sifa, 5, terpaksa menumpang rumah emak saudara di Kampung Aur Tanjung, Bachok kerana kami tidak memiliki rumah sendiri di PCB.
“Selepas kematian suami, saya dan anak-anak pada awalnya dibenarkan menumpang di sebuah rumah kosong penduduk di PCB yang bersimpati dengan nasib kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Pencen FOT Perkeso di Kampung Aur Tanjung, di sini hari ini.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaakub hadir menyempurnakan penyerahan tersebut bersama sumbangan pengurusan jenazah berjumlah RM3,000.
Katanya, setakat ini, hanya 1,340 daripada 17,000 nelayan yang berdaftar di Kelantan mencarum dengan Perkeso.
Katanya, keseluruhan nelayan yang berdaftar merupakan penerima ESHN yang disalurkan oleh kerajaan yang turut mewajibkan potongan Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) demi kebajikan ahli keluarga nelayan yang ditimpa kemalangan. – KOSMO! ONLINE