KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan dua hari iaitu 20 dan 27 Februari 2025 bagi perbicaraan kes khalwat membabitkan penyanyi Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium Mac lalu.
Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh-tarikh yaang dicadangkan.
“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 20 Februari dan 27 Februari (2025),” kata Hakim Syarie Abu Suffian.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Syarie Masroha Duki dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kes kepada pembelaan antaranya senarai saksi-saksi yang akan memberikan keterangan.
Mendengar perkara itu, dua peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani yang masing-masing mewakili Aliff dan Ruhaninies mengesahkan dokumen senarai saksi tersebut.
Pada 3 Julai lalu, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, Aliff didakwa telah berada bersama seorang perempuan beragama Islam Nur Ruhainies Farehah yang bukan isteri atau mahramnya dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa tertuduh (Aliff) melakukan perbuatan tidak bermoral di sebuah unit kondominum di Bukit Bintang di sini pukul 12.35 pagi pada 9 Mac lalu.
Ruhainies pula didakwa telah berada bersama seorang lelaki beragama Islam Mohamad Aliff yang bukan suami atau mahramnya dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral pada tempat, masa dan tarikh sama.
Justeru pertuduhan terhadap mereka didakwa masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini kisah khalwat mereka hangat diperkatakan apabila pelakon Ruhainies mengesahkan dia dan Aliff Aziz diserbu oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis Diraja Malaysia di kediamannya di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Ruhainies, dalam satu kenyataan berkata, keberadaan Aliff Aziz di dalam rumahnya adalah bertujuan untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang dikenali aktor itu sejak 10 tahun lalu.
Ujarnya, kakaknya, Risteena Munim juga antara individu yang menjadi saksi kerana berada di lokasi ketika tangkapan khalwat tersebut berlaku.
Pada masa sama, Ruhainies turut mengakui kekhilafannya di sisi agama, kerana berada dalam situasi tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka negatif yang sepatutnya dapat dielakkan.
Pada 13 Jun lalu, Aliff dan isterinya Bella Astillah sah bercerai talak satu kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Aliff melafazkan talak itu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Bella selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – KOSMO! ONLINE