SUNGAI PETANI – Sebuah premis nasi kandar tular susulan rakaman video dimuat naik pelanggan yang mendakwa menemui ulat dalam telur masin.
Video itu dimuat naik di Facebook oleh pelanggan wanita yang mengunjungi premis tersebut bersama rakannya. Kejadian didakwa berlaku tengah hari semalam.
Seorang pekerja restoran yang ditemui hari ini mengakui dia dipanggil pelanggan wanita tersebut dan menunjukkan beberapa ekor ulat yang masih hidup di atas meja berdekatan makanan sedang dimakannya.
“Pelanggan itu memaklumkan ulat tersebut muncul dari telur masin sedangkan ia baru direbus. Ketika kejadian terdapat pelanggan lain menikmati telur masin bersama nasi kandar, tetapi tidak pula membuat bantahan,” katanya yang enggan dikenali.
Walau bagaimanapun, pekerja itu memaklumkan bahawa dia telah memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan tidak mengenakan bayaran kepada pelanggan terbabit.
“Pada kami perkara itu sudahpun dianggap selesai apabila pelanggan menerima permohonan maaf, namun terkejut apabila kejadian ini ditularkan dalam media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE