fbpx

Terbuka Denmark: DinFei tersingkir, Pearly-Thinaah mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASRAT Sze Fei-Izzuddin untuk memburu gelaran ketiga berturut-turut lebur selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark. - AFP

KUALA LUMPUR – Nasib berbeza dialami dua wakil negara, iaitu beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark.

Sze Fei-Izzuddin yang baru sahaja memenangi kejohanan Terbuka Arctic Ahad lalu tersingkir di pusingan pertama selepas tewas mengejut 13-21, 13-21 kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Pada perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense sebentar tadi, kedua-dua beregu turun membuat perhitungan buat kali pertama, namun kelebihan nyata memihak kepada gandingan baharu Thailand itu.

Menerusi kekalahan tersebut, Sze Fei-Izzuddin yang terkenal dengan julukan DinFei kempunan untuk melakar kejuaraan hatrik selepas memenangi dua kejohanan berturut-turut sebelum ini, iaitu Terbuka Arctic minggu lalu dan Terbuka China bulan lepas.

Biarpun tewas, namun itu tidak dapat mengubah hakikat bahawa mereka adalah beregu lelaki yang memiliki prestasi terbaik pada ketika ini.

Sementara itu, Pearly-Thinaah berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang 19-21, 21-17, 21-15 ke atas Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India.

Pada perlawanan itu, Pearly-Thinaah sedikit tersentak apabila tewas set pertama, namun mereka kembali memperkemaskan permainan untuk bangkit melakar kemenangan dalam dua set berikutnya.

Beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah selepas membenam cabaran pasangan England, Ethan Van Leeuwen-Chloe Birch 21-7, 21-14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI