fbpx

Tanah runtuh Taman Melawati: Penduduk masih dilarang pulang ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembaikan di lokasi tanah runtuh masih berjalan. FOTO oleh AMIR KHALID/KOSMO!

AMPANG – Penduduk Jalan E6 Taman Melawati, di sini, belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing susulan kerja-kerja pembaikan cerun belum selesai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) giat melaksanakan kerja- kerja dilaluan kepada mitigasi dan pembaikan cerun di Jalan G2 dan Jalan Serdang Taman Melawati.

“Para penduduk di Jalan E6 Taman Melawati yang terkesan dengan insiden ini belum lagi dapat dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing sehingga kerja-kerja pembaikan cerun selesai.

“Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi telah selesai dijalankan sebentar tadi bersama agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Datuk Zamri Ramli, Pejabat Daerah Gombak, MPAJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) Cerun, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Penerangan.

“Pihak JMG telah membentangkan dapatan kajian dan siasatan yg telah dibuat pada hari ini dengan kerjasama JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, tiada lagi pergerakan tanah dikesan setakat ini selain JMG memberikan pandangan dan nasihat teknikal kepada agensi terlibat untuk urusan pembaikan cerun bagi memastikan keselamatan umum terpelihara.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini dan memberi ruang pada pihak berkuasa untuk melaksanakan kerja- kerja pembaikan.

“Para pemberita melalui seliaan Jabatan Penerangan telah dibenarkan untuk melakukan tinjauan di tempat kejadian pada hari ini pukul 2.30 petang,” jelasnya.

Hasil tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kerja-kerja menutup tanah runtuh dengan kanvas masih lagi berjalan manakala kerja-kerja pembersihan juga giat dijalankan pihak terlibat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI