SHAH ALAM – Pelakon Hisyam Hamid kesal apabila namanya sering digosipkan dengan ramai wanita selepas menggalas status duda.
Kata Hisyam, 39, kerap dihambat spekulasi membuatkannya mengehadkan komunikasi dengan jantina berbeza demi mengelakkan terpalit gosip liar.
“Lagi rengsek (kesal) sebab macam senang benda nak jadikan cerita, dulu (ketika masih berkahwin) tiada pula benda begini.
“Habis itu, saya tak boleh ada kawan perempuan? Agak menjengkelkan apabila kena lebih berhati-hati ketika berkomunikasi atau berbaik dengan kawan wanita.
“Saya tak nak ada gosip yang tak betul lagi,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Tambah aktor asal Singapura itu, buat masa sekarang keutamaan adalah hati dua orang anaknya sekali gus membuatkannya lebih selesa dengan kehidupan solo.
“Saya rasa saya belum ke arah itu (cari pasangan). Jadi, saya nak elak gosip-gosip sebegitu terutama kerana saya kena jaga hati anak-anak saya.
“Sejak saya kembali solo, memang banyak gosip liar. Saya dengarlah orang sekeliling bertanya minta kepastian tentang gosip berkenaan,” ujarnya.
Lebih kesal apabila ada pihak yang memandai-mandai buat cerita palsu dalam media sosial sehingga mengelirukan ahli keluarganya.
“Hinggakan anak buah saya tanya, sejak bila saya kahwin lagi? Ada orang komen yang saya bukan duda selepas berkahwin dengan orang biasa.
“Sebab itu dulu saya selalu bawa ‘orang rumah’ bagi mengelakkan dihambat gosip sedemikian,” jelasnya.
Sebelum ini, pelakon itu menjadi perhatian selepas mengesahkan dirinya sudah bercerai dengan isteri, Rosmawati Hanafi atau lebih dikenali sebagai Mel.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15. – KOSMO! ONLINE