PETALING JAYA – Pembangunan kluster industri khusus dalam sektor pembuatan di Wilayah Tengah perlu diberi keutamaan sebagai inisiatif strategik Kerajaan Madani bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam hab pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata, perkara itu antara yang telah dipersetujui secara dasar sewaktu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 7 Tahun 2024 hari ini.
“Saya tekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam mempromosikan Wilayah Tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka) secara bersama.
“Ini penting dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke kawasan-kawasan tumpuan di setiap negeri, mempercepatkan pelaksanaan projek sekali gus menambahbaik ‘ease of doing business’ dengan pengurangan karenah birokrasi,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, MPN pada hari ini juga bersetuju agar Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) meneruskan pelaksanaan inisiatif uji kaji peraturan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan penyampaian peraturan di semua peringkat kerajaan termasu pihak berkuasa tempatan (PBT)
“Prakarsa ini perlu diteruskan dan juga diperluaskan berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan terutamanya dalam penjimatan masa dan kos.
“Ini juga akan meningkatkan pelaburan yang seterusnya meningkatkan hasil PBT terutama dalam urusan permit pembinaan serta pengurusan tanah melalui pendekatan Industrial Green Lane seperti yang telah dilaksanakan di Kulai, Johor dan Kulim, Kedah,” katanya. – KOSMO! ONLINE