fbpx

‘Saya ingat bunyi guruh, rupa-rupanya tanah runtuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aisyah ketika ditemui di PPS Jalan E5 hari ini

AMPANG – Rata-rata penduduk di Jalan E6, Taman Melawati, di sini gelisah ekoran kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter (m) di lereng bukit kira-kira 30m dari kawasan kediaman mereka.

Penduduk, Aisyah Adib, 38, berkata, dia dan keluarganya tidak menyangka kejadian bencana tersebut berlaku pagi semalam.

“Semasa kejadian saya terdengar macam bunyi guruh sahaja sebab hujan lebat. Agak takut juga bila tahu terjadi tanah runtuh sebab hanya saya dan dua anak kecil yang berada di rumah.

“Semasa kejadian, suami saya sedang bekerja di Batu Caves, Gombak dan tahu mengenai bencana tersebut selepas dihubungi saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan E5 hari ini.

Sebelum kejadian, anak perempuannya berusia sembilan tahun sempat ke sekolah, manakala anak lelakinya, 7, pula masih di rumah kerana bersekolah sesi petang. Seorang lagi anak perempuan Aisyah berusia setahun lebih.

Sementara itu, Mohd. Haniff Ahmad Safran, 48, berkata, dia bimbang memikirkan risiko runtuhan meskipun kediaman keluarganya terletak di bahagian hujung jalan.

“Tipulah kalau tidak takut selepas tengok jalan masuk tertutup. Itu satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan ini. Hendak meletakkan kereta pun risau sebab hujung ini jalan mati,” kata bapa tiga anak itu.

Menurut Mohd. Haniff, dia dan isteri memutuskan untuk tinggal di PPS bersama tiga anak berusia lima hingga 14 tahun yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.

“Sebelum ini ada tanda-tanda seperti runtuhan kecil dan aliran air kuning (tanah) mengalir. Memang sudah lama empat atau lima tahun lalu. Saya rasa jawatankuasa penduduk di kawasan ini sudah buat laporan mengenainya,” katanya.

Penduduk yang terjejas dalam insiden itu berharap kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan segera supaya mereka dapat melakukan rutin harian seperti biasa.

Seramai 23 penduduk terdiri daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS ekoran tanah runtuh akibat hujan lebat pagi semalam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI