fbpx

Piala Dunia medan ujian perenang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOE YEAN bakal menjadi sandaran terbaik skuad renang negara di pentas Piala Dunia di Shanghai pada 18 Oktober ini.

PIALA Dunia Renang 2024 yang membuka tirai 18 hingga 20 Oktober ini di Shanghai, China bakal menjadi medan ujian buat skuad renang negara dalam usaha memperkukuh persiapan ke peringkat lebih tinggi.

Kejohanan itu bukan sekadar peluang untuk meraih pingat tetapi lebih kepada memberikan pendedahan berharga buat barisan perenang muda Malaysia.

Jurulatih renang negara, Eric Anderson menekankan penyertaan mereka bukanlah semata-mata untuk memburu kemenangan tetapi lebih kepada memberikan pendedahan di peringkat global terutamanya bagi mereka yang baru menjejakkan kaki di pentas antarabangsa.

“Kami datang ke sini untuk lebih dari sekadar mengejar pingat. Matlamat utama kami adalah untuk perenang merasai pengalaman berlumba dengan jaguh dunia dan memperluas zon selesa mereka di luar arena Asia Tenggara,” kata Anderson ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kejohanan itu juga diibaratkan sebagai pentas untuk membina keyakinan 10 atlet negara sementara Anderson yakin pengalaman berharga yang dituai bakal memberi impak besar terhadap prestasi mereka, khususnya ketika berhadapan cabaran lebih besar di masa hadapan.

Selain itu, dua bintang renang negara, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin yang sebelum ini beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, turut dijangka membawa pengalaman mereka untuk memperkuatkan lagi cabaran negara di Shanghai.

Biarpun fokus utama Anderson adalah memberikan pendedahan kepada skuad renang negara, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyasarkan pingat dalam kejohanan itu.

“Pencapaian yang sempurna bagi kami adalah memperoleh satu pingat individu dan dua atau tiga penampilan dalam peringkat akhir,” tambahnya.

Dengan kombinasi pengalaman dan bakat muda, kejohanan itu bukan sekadar saingan biasa tetapi menjadi medan ujian buat skuad renang negara untuk menilai sejauh mana mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI