NEW DELHI – Seorang lelaki maut akibat dibelasah oleh orang ramai selepas terlibat dalam pertikaian mengenai beca berenjin yang melanggar kenderaannya di Malad, Mumbai, lapor laman berita NDTV semalam.
Mangsa dikenali sebagai Akash Maeen, 28, dan ketika kejadian pada Sabtu lalu, dia berada bersama ibu bapanya.
Dalam insiden tersebut, seorang pemandu beca berenjin melanggar kereta Akash semasa memotong kenderaan itu.
Ia membawa kepada pertengkaran antara mereka berdua sebelum pemandu beca berlalu pergi, kata polis.
Satu rakaman video memaparkan Akash dibelasah oleh sekumpulan lelaki, manakala bapanya cuba menolak mereka.
“Akash ditendang dan ditumbuk, menyebabkan dia mengalami kecederaan serius. Dia dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup, kami menahan enam orang pada Ahad lalu dan tiga lagi kelmarin.
“Mereka telah didakwa kerana membunuh dan kesalahan lain,” demikian menurut laporan agensi berita PTI. – AGENSI