fbpx

MyMajikan mudahkan syarikat urus zakat pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hakim bergambar bersama penerima Anugerah Majikan Terbaik PPZ-MAIWP, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan sistem MyMajikan bagi memudahkan syarikat menguruskan pembayaran zakat kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, sistem tersebut yang menggantikan e-FEM telah diperbaharui hasil penelitian dan maklum balas dari majikan.

“Alhamdulillah setelah meneliti setiap respons dan maklum balas pengguna, kami telah menambah baik sistem ini dengan ciri-ciri yang lebih mesra pengguna.

“Jika sebelum ini bayaran zakat kakitangan hanya boleh dilakukan secara manual sahaja, namun kini majikan boleh terus membuat bayaran secara dalam talian dan terus mendapatkan resit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mesra Majikan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, majikan juga boleh memantau status bayaran dan menyemak semula rekod bayaran bagi mengelakkan berlakunya keciciran bulan potongan zakat kakitangan.

Pada masa sama, PPZ-MAIWP menyampaikan Anugerah Majikan Terbaik kepada 20 majikan terpilih sebagai tanda penghargaan dalam menguruskan bayaran potongan zakat bulanan kakitangan.

Antara majikan terpilih ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bank Islam Malaysia Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Shell Business Service Centre Sdn. Bhd. dan Universiti Malaya.

Selain itu, Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Sdn. Bhd., Prokhas Sdn. Bhd., dan Koperasi Ladang, GMA Resources Sdn. Bhd., Payment Network Malaysia Sdn. Bhd., Markas Angkatan Tentera Malaysia serta Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.

Turut menerima anugerah, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Rahim & Co International Sdn. Bhd., Keretapi Tanah Melayu Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Winner Venture Sdn. Bhd. dan Digital Nasional Berhad.

Dalam majlis sama, Abdul Hakim turut menyerahkan sumbangan Kafalah Muzakki atau khairat kematian kepada waris kakitangan Matrade yang merupakan pembayar zakat PPZ-MAIWP.

Untuk rekod, kutipan zakat setakat Januari hingga September 2024 adalah sebanyak RM686,524,377 dengan jumlah pembayar sebanyak 407,613 orang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI