fbpx

MHO serah 87 aduan mangsa skim pelaburan ala hutang kepada BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin bercakap pada sidang akhbar mengenai skim pelaburan ala hutang di Bank Negara Malaysia LINK.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan lebih 87 aduan daripada mangsa skim pelaburan ala hutang (debt investment) yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengadu adalah sebanyak RM47,305,198.00.

Beliau berkata, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut ialah pengadu dijanjikan dengan satu pulangan hibah yang lumayan serta
manfaat-manfaat lain yang ditawarkan dan dijanjikan oleh pihak syarikat kepada mereka.

“Konsep dan modus operandi yang digunakan oleh syarikat ini adalah sama dengan yang digunakan oleh syarikat-syarikat pelaburan lain yang pernah MHO bongkarkan.

“Ini adalah di mana ketua pemasaran syarikat itu akan membuat penerangan dan representasi kepada para pelanggan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, hasil maklumat dari pengadu-pengadu menyatakan bahawa syarikat tersebut memerlukan dana bagi perniagaan-perniagaan yang akan dilakukan oleh syarikat itu, antaranya adalah pelaburan dalam pelbagai perniagaan patuh syariah termasuklah dalam industri pertanian, teknologi maklumat, pusat kecergasan seperti gimnasium dan hartanah.

“Apa yang menarik perhatian pengadu-pengadu untuk menyertai skim pelaburan ala hutang ini adalah apabila mereka ditawarkan dengan tawaran
pulangan hibah yang sangat menarik.

“Ada diantara mereka yang ditawarkan untuk menerima pulangan tawaran hibah sehingga 30 peratus hingga 50 peratus dalam masa setahun, di mana MHO mengesyaki tawaran-tawaran yang dilakukan oleh pihak syarikat tersebut adalah merupakan satu tawaran kosong semata-mata,” jelasnya.

Katanya, janji-janji yang diberikan oleh syarikat tersebut hanyalah janji kosong kerana mangsa-mangsa atau pengadu tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran hibah atau pulangan sepertimana yang dijanjikan oleh syarikat terbabit.

“Di samping itu, pengadu-pengadu juga tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti bahawa pelaburan-pelaburan tersebut memang benar-benar wujud dan ada atau tidak.

“Ini adalah kerana segala maklumat yang diberikan kepada pengadu-pengadu adalah dari ketua pegawai pemasaran syarikat itu sendiri malah pengadu tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti mengenai pelaburan yang dilakukan oleh pihak syarikat,” katanya.

Justeru itu katanya, para pengadu mengharapkan dan memohon supaya BNM dapat melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta dilakukan pertuduhan ke atas individu berkaitan atau syarikat itu di bawah pertuduhan seksyen yang sama.

“Para pengadu juga sudi dan akan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada BNM untuk melengkapkan siasatan ke atas syarikat tersebut dan seterusnya dilakukan pertuduhan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI