PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengakui masih belum fikir mengenai individu yang bakal menggalas tugas Setiausaha Agung badan induk itu yang baharu.
Difahamkan, terdapat tiga nama telah disenarai pendek untuk mengisi kerusi Setiausaha Agung sekali gus mengetuai jentera pentadbiran KLFA itu bermula penggal 2024-2028 nanti.
Antara nama yang dicadangkan adalah Timbalan Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan atau Naib Presiden KLFA, Senator Datuk Hisamudin Yahaya selain Setiausaha Agung sebelum ini, Nokman Mustaffa.
Syed Yazid tidak menolak kemungkinan calon-calon berkenaan berpotensi untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung KLFA, tetapi segalanya bergantung dengan Mesyuarat Exco persatuan dalam masa terdekat.
“Bayangan siapa calon masih belum difikirkan. Perkara ini perlu dibincangkan dengan teliti bersama barisan Exco nanti kerana masing-masing boleh memberi cadangan dan pandangan.
“Saya terbuka walau siapapun calon itu. Namun, biarlah orang itu benar-benar berkaliber kerana tugas sebagai Setiausaha Agung cukup mencabar khususnya dalam usaha saya untuk membawa perubahan kepada landskap bola sepak di Kuala Lumpur ini.
“Apapun kita tunggu dan lihat sehingga 30 Oktober ini di mana kita akan buat mesyuarat Exco yang pertama nanti,” katanya.
Sementara itu, Syed Yazid turut mengesahkan penyokong bola sepak KL City boleh menonton aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium KL, Cheras malam esok dengan percuma, tetapi perlu memakai jersi rasmi kelab.
“Saya boleh sahkan perlawanan antara KL City dan KDN FC pada Jumaat ini penonton akan diberikan kemasukan percuma buat penyokong-penyokong KL City. Tapi untuk masuk percuma, peminat perlu memakai jersi original,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE